Sunday 27 November 2011

MENJELANG PERHIMPUNAN UMNO

Pentas terbaik sedarkan orang Melayu Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Perhimpunan Agung UMNO adalah pentas terbaik untuk menyedarkan orang Melayu betapa pentingnya mereka bersatu padu dan mengutamakan parti, bukan individu tertentu atau diri sendiri. “Ramai ahli tidak faham bahawa perjuangan UMNO adalah untuk agama, bangsa dan negara, bukan untuk individu tertentu. Saya harap mesyuarat agung kali ini akan memperingati ahli mengenai perjuangan sebenar parti itu,” katanya. Sehubungan itu, katanya sayap utama dalam UMNO iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri digesa untuk kembali kepada perjuangan parti itu dan mampu menjelaskan peranannya bagi kepentingan agama, bangsa dan negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti. Beliau berkata, adalah sesuatu yang berbahaya jika ahli dalam ketiga-tiga sayap parti berkenaan hanya memberi sokongan kepada pihak tertentu untuk menjadi calon atau ketua kerana ia boleh merosakkan parti Melayu itu sendiri. Bekas Presiden UMNO itu turut menyelar kealpaan Barisan Nasional (BN) yang tidak menyedari betapa mereka hilang populariti pada Pilihan Raya Umum 2008 sekali gus menyebabkan berlaku kekalahan di beberapa negeri. “Orang Melayu tidak menyatakan apa-apa mengenai kerajaan, tetapi mereka mendiamkan diri walaupun dalam hati, mereka marah kepada kerajaan dan hanya menunjukkannya dengan menolak BN dalam pilihan raya. “Begitu juga dengan rakyat keturunan Cina dan India. Bagi kaum Cina, pemberhentian semua projek besar kerajaan bermakna kehilangan peluang kepada mereka dan terpaksa ke luar negara untuk mencari perniagaan. Situasi ini pasti membuatkan mereka tidak gembira. “Orang Melayu pula tidak pandai membuat penilaian. Biasanya mereka undi kerana terbawa-bawa dengan sesuatu. Umpamanya, apabila ditunjuk gambar mata hitam, mereka marah. Hendak kata mereka buat analisis, BN macam ini, pakatan macam itu, ia di luar kemampuan mereka,” katanya dalam pertemuan dengan Berita Harian di pejabatnya di Bangunan Yayasan Syed Al-Bukhari di sini, baru-baru ini. Mahathir turut melihat senario perpecahan yang ketara dalam masyarakat Melayu kerana tidak bekerjasama walaupun menjadi kaum terbesar di negara ini, majoritinya semakin hilang hingga terpaksa bergantung kepada undi kaum lain. “Kita lawan antara satu sama lain. Macam Arab lawan Amerika, yang bunuh Arab adalah orang Arab sendiri. Bagi Amerika semuanya Muslim tidak kira Syiah, Sunnah atau Wahabbi, tetapi bagi orang Islam, ini Sunnah, itu Syiah dan itu Wahabbi, kita kena perang dan ia kini berlaku di negara kita. “Lebih kritikal, orang Cina tidak lagi terbahagi dua sekali gus menjadikan mereka penentu kemenangan. Dulu, siapa Melayu sokong, orang itu akan menang. Kini, dalam kawasan Melayu, perpecahan berlaku dan siapa orang Cina sokong, dia akan menang,”

No comments:

Post a Comment