Thursday 27 October 2011

KITA SEMUA ADALAH PENDAKWAH

TIDAK kira siapa kita dan apa yang kita buat, asalkan ianya perkara baik; jikalau niat atau nawaitu kita semasa melakukan perkara itu adalah semata-mata kerana Allah SWT, maka itu sudah dikira ibadat.
Sama juga ertinya jika kita mengajak seseorang itu supaya bersolat misalnya, mendorong mereka kepada kebajikan dan kebaikan serta mencegah dari kejahatan; maka itu dikira dakwah. Bukankah berdakwah itu juga ibadat?
Berdakwah adalah tugas seseorang mengajak secara ikhlas, seseorang yang lain kepada melaksanakan suruhan Allah SWT.
Samaada kita berdakwah sepenuh masa atau sekadar memberitahu kepada perkara baik, ingat mengingati di antara satu sama lain, itu sudah dikira berdakwah.
Untuk berdakwah tidak perlu ada kumpulan sasar kerana usaha mulia ini merangkumi semua manusia yang sememangnya mempunyai sifat-sifat mazmumah.
Pendakwah tidak punya musuh kerana dia tidak memaksa sesiapapun untuk menerima mukadimahnya atau melakukan apa-apa yang disuruh. Berdakwah dengan menunjukkan contoh adalah kaedah terbaik sepertimana dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Tidak ada paksaan dalam Islam.
Pendakwah berpegang teguh pada sunnah Nabi SAW dan sentiasa memberi peringatan kepada sesiapa yang sudi mendengar, agar kembali kepada asas ajaran Islam yang sebenar terutama dalam menunaikan amal ibadat dan teguh dalam amalan mendirikan solat lima waktu sehari semalam.
Melalui ceramah atau majlis-majlis ilmu, nasihat atau contoh baik secara individu atau berkumpulan yang berkesan seseorang pendakwah itu boleh menimbulkan kesedaran dan keinsafan di hati golongan ini apa lagi mereka ini sebahagian besar adalah golongan Islam pada namanya sahaja.
Maka itu, adalah digalakkan setiap Muslim memulakan langkah pertama, bermula dengan diri sendiri, mengajak ahli terdekat dalam keluarga, kaum kerabat, sahabat handai dan jiran tetangga, agar berkunjung ke masjid untuk bersolat jemaah; kerana ini adalah satu permulaan dakwah yang sangat-sangat disukai oleh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment